Asid Folik dan Kepentingannya – Wanita Hamil Wajib Tahu!
Bakal melahirkan anak tidak lama lagi? Anda pasti berdebar-debar menantikan saat ini. Si suami pun turut sama ternanti-nanti bagaimanakah rupa anak yang akan keluar dari rahim ibunya. Adakah mata sama seperti ibunya? Hidung seperti ayahnya?
Tetapi persoalan yang sering bermain di minda tetapi tidak terungkap di bibir – adakah anakku ini sihat dan sempurna anggota badannya saat dilahirkan?
Apakah asid folik?
Asid folik adalah salah satu vitamin dalam kumpulan B. Ia wujud secara semulajadi sebagai folat dalam kekacang, sayuran hijau, beberapa buah, dan juga yis and ekstrak daging lembu. Sesetengah makanan seperti roti dan bijirin sarapan diperkuat dengan asid folik.
Mengapakah saya perlukan asid folik?
Asid folik menolong melindungi bayi dalam kandungan anda daripada kecacatan dalam sistem sarafnya (kecacatan tiub neural) seperti spina bifida.
Spina bifida berlaku apabila pelindung yang melitupi saraf tunjang bayi tidak tertutup dengan sempurna. Ini boleh menyebabkan kerosakan saraf kekal.
Dalam masa 12 minggu pertama kehamilan, otak dan sistem saraf bayi terbentuk dan berkembang dengan pesat. Oleh sebab itu, adalah sangat penting untuk mengambil folik asid setiap hari pada masa itu.
Dalam trimester kedua, iaitu dari minggu ke-13 kehamilan, anda sudah boleh berhanti mengambil asid folik. Namun jika anda terus mengambil asid folik sepanjang kehamilan, ia tidak akan menjejaskan kesihatan anda ataupun bayi anda.
Peratusan untuk mendapat anak cacat anggota atau kurang upaya adalah sangat rendah dan bergantung kepada banyak faktor. Namun, sekiranya anda ditakdirkan dengan anak istimewa seperti menghidap Neural Tube Defect (NTD), jangan sesekali putus harapan.
Apa itu NTD?
Kecacatan janin yang bermula di awal perkembangan bayi. Ohsemmama akan cuba menghuraikan dalam bahasa yang mudah difahami. Baca 2 situasi di bawah:
Situasi NORMAL – sel dalam embryo akan bercantum membentuk saluran tiub digelar neural tube. Tiub ini berkembang menjadi otak dan saraf tunjang.
Situasi janin mengalami NTD – pembentukan neural tube tidak sempurna menyumbang kepada kecacatan otak dan saraf tunjang. Jelas?
Siapa yang berisiko menghidap NTD??
Janin anda mempunyai risiko yang tinggi memiliki penyakit ini sekiranya:
– anda atau suami mempunyai NTD
– sebelum ini pernah mengandung anak NTD
– keluarga belah anda atau belah suami mempunyai sejarah NTD
– anda menghidap diabetes
Cara pencegahan NTD
Asid folik harus diambil mengikut dos yang disarankan oleh doktor anda. Selain mencegah NTD, ia juga mendatangkan kebaikan lain seperti:
– kandungan haemoglobin dalam darah meningkat
– merendahkan risiko keguguran / lahir mati / bayi pra matang
– mengurangkan kecacatan lain yang boleh berlaku kepada bayi (sumbing lelangit, kecacatan pada jantung dan lain-lain)
Masa sesuai pengambilan asid folik
Sebaik sahaja anda merancang untuk hamil sehinggu minggu ke-12. Selepas tempoh masa ini, kurang keutamaan untuk mengambil asid folik. Namun jika masih mahu teruskan, tiada masalah.
Berapakah jumlah asid folik yang saya perlukan?
Anda dinasihatkan mengambil 400 mikrogram (mcg) asid folik setiap hari sebaik sahaja anda merancang untuk hamil. Kemudian, teruskan mengambilnya untuk 12 minggu yang pertama kehamilan. Baik juga jika anda makan makanan yang kaya dengan folat.
Wanita yang telah mempunyai seorang anak dengan kecacatan tiub neural (NTD) mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat seorang lagi anak dengan kecacatan yang sama. Dalam kes ini, doktor akan mempreskripsikan dos asid folik yang lebih tinggi.
Jika anda mengambil ubat-ubatan tertentu, seperti yang dipreskripsi untuk mengawal epilepsi, doktor anda mungkin mempreskripsikan dos asid folik yang lebih tinggi. Ini kerana ubat-ubatan itu menghalang keupayaan badan anda menyerap asid folik.
Apakah sumber makanan yang terbaik?
Makanan yang kaya dengan folat adalah sangat baik bagi anda dan bayi anda. Makanan ini juga kaya dengan pelbagai khasiat yang diperlukan oleh anda berdua. Berikut adalah makanan yang kaya dengan folat:
Makanan berikut mengandungi 100–200 mikrogram folat bagi setiap hidangan:
~ bayam, 1 cawan;
~ kacang bendi, setengah cawan;
~ asparagus, setengah cawan;
~ lentil, setengah cawan;
~ hati, 1 keping;
~ 11 batang taugeh brussels;
~ kacang mata hitam, 4 sudu makan;
~ emping bran, 7 sudu makan;
~ germa gandum, 25g / 1 aun;
~ betik sederhana besar.
Makanan berikut mengandungi 50–100 mikrogram folat bagi setiap hidangan:
~ brokoli kukus, 2 pucuk;
~ buah oren saiz besar;
~ nasi putih, setengah cawan;
~ oat, setengah cawan;
~ kacang merah, setengah cawan;
~ jagung saiz besar, 1;
~ biji bunga matahari, 1 aun.
Sumber lain yang mudah didapati termasuklah telur rebus bersaiz besar, ikan salmon dalam tin dan ubi kentang tidak dibuang kulit. Ingatlah bahawa asid folik dalam makanan akan musnah jika terlebih masak, jadi masaklah dalam kuali bertutup dengan sedikit air sahaja. Cuba makan sayur-sayuran yang dicelur sebentar atau dimasak menggunakan ketuhar gelombang mikro ataupun mentah.
——————–
Jangan lupa bermohon kepada Allah agar kandungan anda sentiasa berada dalam situasi yang terbaik dan dilindungi. Cuba amalkan doa di bawah ini insyaallah.
Ya Allah, lahirkan ia daripada kandunganku dengan kelahiran yang mudah dan sejahtera. Ya Allah, jadikanlah ia sihat sempurna. Ya Allah, elokkanlah perangai (akhlak), fasihkanlah lidahnya dan perelokkanlah suaranya untuk membaca hadis dan al-quran dengan berkat Nabi Muhamaad SAW
Ketentuan oleh yang Maha Kuasa mengatasi segala-galanya. Ingat tu!




No comments:
Post a Comment